Contoh Kerja Kursus STPM Sejarah Tempat Sem 2


TEMA 3 : SEJARAH TEMPAT 
TAJUK : PERKEMBANGAN KAMPUNG  TAN SRI MANICKAVASAGAM DI PULAU CAREY DARI TAHUN 1978 HINGGA TAHUN 2015
          Perkampungan ataupun petempatan adalah berasal daripada salah satu ciri-ciri ketamadunan sesebuah tempat. Petempatan awal manusia di Malaysia  telah bermula sejak lebih kurang 40,000 tahun lalu. Manusia pertama sekali yang menduduki Semenanjung Melayu mungkin ialah kaum Negrito. Semenanjung Melayu dikenali sebagai "Semenanjung Emas" oleh tamadun India purba (Suvarnadvipa) dan juga peta dunia Ptolemy (Chersonesus Aurea atau Semenanjung Kencana). Kampung atau desa, menurut takrifan universal, ialah sebuah penempatan manusia di kawasan luar bandar. Biasanya ia lebih kecil daripada pekan. Menurut Rouceck dan Warren, desa boleh dikelaskan berdasarkan berbagai-bagai kriteria.            Petempatan bermaksud tempat tinggal manusia sama ada sebuah kediaman ataupun beberapa buah kediaman. Petempatan merupakan suatu tempat manusia tinggal dan berinteraksi antara satu dengan lain melalui pelbagai aktiviti seperti pertanian, perniagaan, perikanan, perlombongan, perkhidmatan, perindustrian, pembalakan dan sebagainya. Kampung tradisi merupakan sebuah petempatan kampung yang wujud secara tidak dirancang atau organik. Kampung tradisi di bandar menampung bilangan penduduk yang tinggi yang majoritinya terlibat dengan aktiviti bandaran dan mempunyai keadaan fizikal yang kurang teratur dan seringkali mempamerkan keadaan yang sesak (slum). Kampung tradisi di desa pula menampung penduduk di tahap densiti rendah dan seimbang. Taburan petempatan kampung tradisi dipengaruhi oleh aktiviti ekonomi setempat seperti pertanian, pelombongan dan sebagainya. Corak kampung tradisi ini adalah samada berjajar ataupun berkelompok. Kampung tradisi juga boleh terdapat di pulau-pulau. Majoriti penduduk di kampung tradisi adalah terdiri daripada kaum Melayu dan Cina. Contoh kampung tradisi ialah kampung Kundang di Kuala Langat, Selangor. Wujud secara tidak dirancang atau organik Kampung tradisi bandaran densiti yang tinggi Kampung tradisi desa densiti yang rendah. Corak petempatan mereka selalu berjajar atau berkelompok terdiri daripada masyarakat Melayu, India, dan Cina.  Di dalam Pulau Carey, terdapat sebuah kampung yang didominasikan oleh masyarakat yang berbangsa India. Kampung ini telah wujud sejak beberapa puluh tahun yang lalu. Kampung ini telah diwujudkan oleh seorang presiden keenam MIC (Malaysian Indian Congress). 

            Nama kampung Tan Sri Manickavasagam ini adalah berasal daripada nama seorang ahli politik Perikatan/ MIC di Malaysia. Beliau merupakan Presiden MIC ("Kongres India Se-Malaysia") yang ke-6 (1973-1979) iaitu Tan Sri Dato' Seri V. Manickavasagam. Beliau juga merupakan bekas Menteri Komunikasi dalam kabinet Malaysia. Tan Sri Manickavasagam menjadi presiden MIC sebagai kesan akibat peningkatan rintangan daripada ahli akar umbi kepada gaya kepimpinan Tun VT Sambanthan. Sebagai presiden parti itu selama 18 tahun, sesetengah merasakan Tun Sambanthan telah terlalu lama memegang tampuk pemerintahan dan mereka mengalu-alukan perubahan. Di bawah kepimpinan Tan Sri Manickavasagam, MIC diletakkan di landasan yang kukuh dengan bangunan, pejabat dan kakitangan di beberapa bahagian negara ini dan sistem parti teratur dan kapasiti untuk menangani isu-isu yang dipertingkatkan. Ia adalah sepanjang tempoh ini bahawa MIC, sebagai ahli Perikatan, telah menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional. Parti menaja Koperasi Serbaguna Nesa dan Unit Amanah MIC sebagai sebahagian daripada program untuk usaha ekonomi, dan juga menubuhkan Tabung Pendidikan untuk kanak-kanak ahli MIC dan Tabung Biasiswa India Malaysia bagi pengajian tinggi serta memperolehi institut latihan India di kemahiran teknikal dan perdagangan.
             Kampung ini mula dibuka pada tahun 1978. Kampung ini ditubuhkan mengikut bagi menyediakan pekerja ladang iaitu pekerja estet India untuk membina sebuah kampung mereka sendiri. Kampung ini diberikan kepada keluarga yang telah bekerja selama beberapa generasi di Pulau Carey. Di samping, mengikut Penyata Rasmi Parlimen Jilid III pada tahun 1977  kerajaan pada zaman itu juga telah menyediakan perbelanjaan atau kewangan untuk memajukan atau membina perumahan berbentuk lot atau teres. Ini untuk memastikan kebanyakan penduduk di luar Bandar mempunyai kemudahan tempat tinggal.
          Penduduk kaum India pada waktu itu kebanyakannya daripada Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Singapura dari tahun 1926 hingga 1972. Pada zaman itu, banyak pendatang India Selatan ke Malaya ketika itu. Berikutan, pengambilalihan British terhadap negeri-negeri Selat dari 1786 hingga 1824 memulakan pekerja India yang mantap. Selain itu, terdapat juga penghijrahan India yang banyak untuk bekerja di kerajaan kolonial British kerana arahan umum mereka yang baik dalam Bahasa Inggeris. Penubuhan ladang-ladang di Pulau Carey juga memerlukan buruh murah menyebabkan kemasukan pendatang India yang bekerja dalam sektor perladangan dan pelbagai sektor lain. Pulau Carey juga turut berasal daripada seorang pegawai British yang merupakan pengusaha ladang kopi dan getah yang bernama Valentine Carey. Oleh itu, kebanyakan buruh India yang  bekerja di sektor pertanian telah menyebabkan mereka mempunyai petempatan mereka sendiri di kampung itu. Buruh India diperlukan untuk bekerja di aktiviti perladangan, pertanian atau bidang ekonomi yang dijalankan di Pulau Carey.
        Tan Sri Manickavasagam sangat berwawasan untuk memajukan kaum India dan beliau mempunyai visi bagi masyarakat India Malaysia. Beliau telah menganjurkan Seminar Ekonomi Pertama India dan hasilnya Buku Biru telah diadakan. Ia adalah satu rancangan pembangunan untuk pertumbuhan ekonomi masyarakat India. Buku Biru adalah satu usaha dirancang bagi mengukuhkan perniagaan kaum India. Pemimpin politik dan pendidikan bekerjasama untuk menambahbaik masa depan masyarakat India Malaysia. Maika Holdings dan Institut Pendidikan dan Pembangunan Maju (MIED) dan lain-lain adalah hasil langsung daripada Buku Biru. Tidak peliklah jika kampung Tan Sri Manickavasagam ditubuhkan dan diberi nama atas nama beliau sendiri.
           Disebabkan wawasan dan visi Tan Sri Manickavasagam, Kampung Manickavasagam di Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor dibuka. Beliau telah membina sebuah perkampungan di Pulau Carey dan memberi nama kampung itu bersempena dengan nama beliau sendiri. Kampung ini wujud sejak tahun 1978 sehingga sekarang dan  semakin berkembang berbanding semasa tahun permulaan kampung ini dibina. Hasil dari kegigihan beliau untuk memajukan kaum India , beliau beriltizam untuk membangunkan masyarakat  berbangsa India sehingga dipelosok pedalaman.
         Kampung ini ditubuhkan bagi memberi peluang kepada kaum India untuk mempunyai petempatan sendiri. Kampung ini mendapat reaksi yang baik daripada penduduk tempatan pada masa itu. Kemunculan kampung Manickavasagam ini telah menjadikan masyarakat tempatan pada masa itu semakin bersemangat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.
            Tan Sri Dato' Seri V. Manikavasagam meninggal dunia pada 12 Oktober 1979 ketika masih di pejabat akibat sakit jantung. Beliau digantikan oleh Dato Seri S. Samy Vellu. Selain daripada nama kampung ini diambil daripada beliau, ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur dinamakan Menara Manickavasagam. Di Semenyih pula , sebuah taman perumahan dinamakan Taman Manickavasagam.
          Latar belakang setiap kampung atau tempat sedikit sama dengan ciri-ciri tamadun. Sesebuah ketamadunan boleh diramal melalui beberapa ciri. Antaranya adalah, mempunyai petempatan, mempunyai sistem ekonomi, politik, sosial, kepercayaan dan agama yang dianuti. Anggaran penduduk di kampung Tan Sri Manickavasagam pada waktu ini ialah seramai 350 penduduk. Selain itu, kampung Manickavasagam ini terbahagi kepada 5 lorong dan setiap lorong mempunyai penduduk dan petempatan. Penduduk ini terdiri daripada semua golongan ahli isi rumah termasuk golongan kanak-kanak. Kebanyakan penduduk di Kampung Tan Sri Manickavasagam ini  mempunyai kenderaan beroda empat iaitu kereta sekurang-kurangnya satu malah lebih pada setiap rumah. Ini secara tidak langsung, menunjukkan penduduk setempat pastinya mempunyai pendapatan bulanan yang mencukupi dan melebihi daripada keperluan asas mereka.
         Penduduk kampung Tan Sri Manickavasagam juga menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi. Antara kegiatan ekonomi yang dijalankan ialah menjalankan aktiviti pertanian, perikanan, di samping perladangan. Kebanyakan, mereka bekerja di ladang kelapa sawit di Sime Darby sebagai buruh dan sebagainya. Malahan, mereka juga ada bekerja sebagai nelayan di Sungai Judah, Pulau Carey. Segala aktiviti yang dijalankan adalah untuk menyara diri, dan keluarga penduduk kampung Tan Sri Manickavasagam. Malahan, terdapat penduduk yang menjalankan aktiviti peruncitan dengan membuka kedai runcit untuk memenuhi keperluan asas penduduk. Terdapat dua lorong daripada lima lorong yang mempunyai kedai runcit. Kedai runcit ini berperanan untuk memudahkan penduduk setempat bagi memenuhi keperluan asas seperti beras, gula, garam, santan dan sebagainya. Nama kedua-dua kedai runcit tersebut ialah Kedai Runcit Nallusamy dan Kedai Runcit Munusamy.  Kesemua peniaga itu adalah berbangsa India. Pekerjaan yang dilakukan adalah punca pendapatan kasar penduduk kampung Tan Sri Manickavasagam itu.
         Semua penduduk kampung Tan Sri Manickavasagam ialah berbangsa India. Hampir kesemua penduduk kampung ini menganuti agama Hindu. Walau bagaimanapun, terdapat juga mereka yang beragama Islam walaupun mereka berbangsa India. Mereka, yang beragama Islam turut pergi ke masjid  untuk menunaikan solat fardhu. Jarak petempatan untuk ke masjid anggaran 5km dari rumah mereka. Ini menunjukkan agama juga turut berkembang melalui pelbagai cara. Terdapat juga kuil berhampiran di petempatan mereka iaitu sebanyak dua buah kuil di kampung Tan Sri Manickavasagam itu. Kepelbagaiaan agama dan bangsa penduduk kampung Tan Sri Manickavasagam menunjukkan keterbukaan masyarakat penduduk itu. Selain tu, mereka turut fasih berbahasa Melayu walaupun persekitaran mereka menggunakan Bahasa Tamil sebagai bahasa komunikasi harian mereka. Tetapi, terdapat juga beberapa penduduk yang tidak fasih berbahasa Melayu, walaupun begitu mereka masih lagi memahami bahasa Melayu apabila mereka mendengarnya.
          Masyarakat kampung Tan Sri Manickavasagam mempunyai kepercayaan politik tertentu. Walaupun, mereka mempunyai pelbagai pandangan parti politik tertentu tetapi terdapat kain rentang parti politik tertentu yang terpampang di sekitar jalan petempatan kampung Manickavasagam. Ini juga menunjukkan masyarakat kampung Manickavasagam juga mengambil berat tentang sistem politik yang berlaku di Malaysia. Ada juga, mereka yang mempunyai jawatan tertentu dalam bidang politik. Contohnya, Encik S.Subramaniam yang menjadi Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Tan Sri Manickavasagam. Malahan, Encik Murugayan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua MIC Simpang Lima.

         Sebuah kampung pasti akan mengalami perubahan atau perkembangan dari setiap tahun ke tahun. Begitu juga, di kampung Tan Sri Manickavasagam. Pada awal penubuhan kampung ini, kampung ini mempunyai anggaran seramai 80 orang penduduk. Kini, populasi penduduk semakin meningkat. Peningkatan anggaran penduduk kampung Tan Sri Manickavasagam kini ialah 350 orang penduduk. Pertambahan penduduk berlaku disebabkan beberapa faktor. Antaranya, perpindahan penduduk kampung lain ke kampung itu. Selain itu, keturunan-keturunan yang berkahwin dengan masyarakat kampung Tan Sri Manickavasagam itu di samping menetap di kampung itu. Itu juga menjadi faktor perkembangan penduduk di dalam kampung itu.
           Selain itu, kampung Tan Sri Manickavasagam juga pada awalnya hanya mempunyai 3 lorong petempatan. Disebabkan, pertambahan penduduk dari tahun ke tahun lorong di kampung turut ditambah kepada 5 lorong. Ini bagi memudahkan petempatan masyarakat kampung Tan Sri Manickavasagam itu sendiri.
             Pada awalnya, kampung ini adalah hutan sepenuhnya, dan tiada sebarang petempatan di sana melainkan perkampungan orang Asli pada awal abad ke-18. Tan Sri Manickavasagam mencetuskan idea ini bagi memajukan kaum India dan membuka sebuah petempatan di sebuah hutan yang tidak dimajukan. Oleh disebabkan kebijaksanaan Tan Sri Manickavasagam , sebuah hutan telah dimajukan dengan membina sebuah perkampungan khusus untuk masyarakat yang berbangsa India. Visi utama penubuhan kampung ini ialah bertujuan untuk memberi kemudahan kaum  buruh India pada awal tahun 70-an untuk mempunyai perkampungan sendiri.

            Seterusnya, kampung ini juga tidak lagi hanya berinteraksi sesama ahli penduduk mereka di kampung Tan Sri Manickavasagam itu sahaja seperti awal pertubuhan kampung itu. Kini, mereka turut berhubung dengan masyarakat yang berada di pekan dan bandar. Hal ini kerana, kampung Tan Sri Manickavasagam juga turut dapat menerima segala bantuan daripada kerajaan. Mereka tidak lagi dipandang sepi walaupun tinggal di dalam pedalaman. Hal ini dibuktikan kerana  Encik Abdul Razak Khasbullah dari Bilik Gerakan DUN Sijangkang War Room 1  memberikan  bantuan Deepavali kepada 43 orang dari Kampung Tan Sri Manickvasagam dan 29 orang dari Kampung Simpang Lima, Ladang Timur, Pulau Carey. Sumbangan ini diberikan kepada masyarakat India yang tidak berkemampuan menyambut perayaan Deepavali. Sumbangan ini diberi nama Jejak Deepavali dan turut dijayakan bersama-sama Tuan Haji Hashim Sahed Unit Rakan  War Room 1 dan Encik S.Subramaniam Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Tan Sri Manickavasagam, Encik Murugayan merangkap Ketua MIC Simpang Lima. Turut sama dalam program petang itu ialah Encik Mustapha Majid merangkap Ketua Pemuda MIC Cawangan Utara Baru, Encik Praba serta Puan Krishnammal merangkap Ketua Wanita MIC Cawangan Simpang Lima.  Bantuan yang diberikan ini bertujuan untuk memastikan kebajikan beberapa penduduk yang ingin  Menyambut Perayaan Deepavali.
        Di samping itu, kampung Tan Sri Manickavasagam turut mempunyai beberapa kedai runcit sebagai tempat bagi masyarakat setempat mencari barang asas mereka. Contohnya, seperti beras, gula, tepung dan sebagainya. Pada awal tahum 1980, kampung Manickavasagam hanya mempunyai satu kedai runcit. Kedai runcit ini satu-satunya kedai yang menjadi sumber penduduk setempat mencari barang keperluan asas iaitu Kedai Runcit Munusamy. Kedai runcit tersebut ialah kedai runcit yang terlebih dahulu wujud di kampung Tan Sri Manickavasagam. Pada awal penubuhan kedai runcit ini, nama pemilik kedai runcit ialah Munusamy A/L Vijy Maniarasem. Kini, perniagaan kedai runcit tersebut diteruskan oleh anaknya iaitu Selvam  A/L Kumaran. Apabila, permintaan barang keperluan asas semakin tinggi, barang keperluan asas yang diminta di kedai runcit turut meningkat. Maka, sering kali barangan yang dijual di kedai runcit tersebut tidak mencukupi. Kini, penduduk setempat mempunyai pilihan untuk memilih kedai runcit yang kedua itu Kedai Runcit Nallusamy untuk memenuhi keperluan asas mereka.
          Malahan, masyarakat kampung Tan Sri Manickavasagam juga turut mempunyai kenderaan yang membolehkan mereka untuk ke bandar membeli atau memenuhi keperluan dan kehendak mereka. Pergerakan mereka tidak lagi terbatas seperti awal tahun 1970 dahulu yang hanya mengayuh basikal dan berjalan kaki untuk pergi ke mana-mana. Oleh itu, pergerakan mereka terbatas untuk keluar dari kampung itu. Bukan itu sahaja, malah hampir semua penduduk di kampung itu mempunyai kenderaan beroda empat sekurang-kurangnya satu malah lebih. Di samping, terdapat kenderaan awam seperti bas untuk mereka pergi ke bandar walaupun perhentian bas di sana agak jauh dari petempatan mereka. Ada juga penduduk yang menggunakan khidmat ‘Grab Car’ yang memerlukan aplikasi yang perlu dimuat turun terlebih dahulu sebelum menggunakannya untuk ke mana-mana sahaja. Ini juga menunjukkan perkembangan teknologi yang digunakan oleh masyarakat setempat untuk kemudahan mereka. Selain itu, kebanyakan rumah mereka adalah rumah papan dan tidak mempunyai sebarang kemudahan. Kini, hampir kebanyakan penduduk setempat tinggal di rumah batu dan maju.
          Mereka juga ada yang tidak lagi hanya bergantung kepada aktiviti ataupun sektor pertanian sahaja, kebanyakan mereka bekerja di luar kampung iaitu bandar ataupun pekan. Ini untuk menjana pendapatan mereka dengan bekerja di sektor awam atau swasta. Ini menunjukkan perkembangan pekerjaan penduduk setempat daripada bekerja di sektor pertanian seperti bekerja di ladang kelapa sawit hingga ke sektor perindustrian, awam, dan swasta.
         Di samping, agama dan kepercayaan masyarakat di kampung Tan Sri Manickavasagam juga turut berkembang. Hal ini kerana, pada awal kemunculan kampung ini, penduduk setempat hanya menganuti agama Hindu tetapi kini masyarakat penduduk Tan Sri kampung Manickavasagam ada yang menganuti agama Islam. Perkembangan agama Islam di kampung itu disebabkan oleh perkahwinan. Penduduk setempat yang berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Walau bagaimanapun, jumlah masyarakat di kampung itu masih lagi didominasi oleh masyarakat yang beragama Hindu. Golongan yang beragama Islam hanyalah sebilangan sahaja.
          Menerusi kajian ini, jelaslah bahawa setiap petempatan menyimpan pelbagai seribu satu cerita yang tidak semua mengetahuinya. Setiap kampung mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Kewujudan nama kampung yang unik pastinya menjadi tanda tanya sesiapa sahaja yang melihatnya. Harapan agar, kampung Tan Sri Manickavasagam ini mampu menjadi sebuah kampung lebih maju di masa akan datang dan melahirkan insan yang cemerlang dan terbilang. Kini, Tan Sri Dato' Seri V. Manikavasagam  telah meninggal dunia pada 12 Oktober 1979 ketika masih di pejabat akibat sakit jantung. Di samping, harapan agar sejarah ini mampu membuka mata semua masyarakat supaya mengetahui sejarah awal penubuhan sesuatu tempat. Jangan biarkan, ianya berhenti di benak pemikiran sahaja.




Nota Hujung
1.      Sivachandralingam Sundara Raja, “Tamadun Dunia” (Cambridge: Cambridge University Press, 2009),  ms15
2.      Wikipedia “Definisi Kampung ” https://www.pnm.gov.my/pnm/resources/flipbook/sariPustaka12011/files/saripustakabil1-2011.pdf  ( diakses pada 5 April 2019)
3.      Ahmad Ghani b Abdul Ghapar , “ Koleksi Asal Usul” ( Unit Perancang Ekonomi UPEN, 2007), ms 23
4.      Ahmad Othman ,  “ Kampungku Sayang” (Syarikat Bersatu Sdn Berhad, 1993) , ms 9
5.      Aidil Fitri, “ Tan Sri Manickavasagam” http://akubasikaldansesuatu.blogspot.com/2012/05/tan-sri-manickavasagam.html?m=1 ( diakses pada 19 Mac 2019)
6.      Ravechandran A/L Reagan , 48 tahun, penduduk kampung Manickavasagam  diwawancara pada 17 Februari 2019.
7.      Wikipedia “ V. Manickavasagam” ,  https://ms.wikipedia.org/wiki/V._Manikavasagam (diakses pada 20 Februari 2019.
8.      Jamilah , 52 tahun, penduduk kampung Manickavasagam yang beragama Islam diwawancara pada 3 Mac 2019.

Bibliografi
Buku
Ahmad Othman, Pustaka Sinaran Sdn Bhd di Melaka “Kampung Contoh Malaysia”, 2001.

Ahmad Ghani b Abdul Ghapar , Unit Perancang Ekonomi UPEN “ Koleksi Asal Usul” (2007)

Zuridah Jamil,  Syarikat Bersatu Sdn Berhad  “ Kampungku Sayang” , 1993.

Idris Yaakub, Syarikat Perniagaan Mulia “ Teroka Kampung Anda” , 2009.

Sivachandralingam Sundara Raja, Cambridge: Cambridge University Press “ Tamadun Dunia” , 2009
Akhbar

Berita Harian , 15 Ogos 2017, “Nilai Melayu, Islam majukan Kampung Baru”. Profesor Dr Ismail Omar

Internet

Aidil Fitri, “ Tan Sri Manickavasagam” (3 Mei 2012) http://akubasikaldansesuatu.blogspot.com/2012/05/tan-sri-manickavasagam.html?m=1



Orang Sumber

Ravechandran A/L Reagan ,  48 tahun, penduduk kampung  Tan Sri Manickavasagam

Jamilah  Hassan, 52 tahun, penduduk kampung Tan Sri Manickavasagam yang beragama Islam













PUSAT TINGKATAN ENAM
SMK TELOK PANGLIMA GARANG

BORANG TEMUBUAL KERJA KURSUS SEJARAH
KAJIAN : SEJARAH PERKEMBANGAN KAMPUNG MANICKAVASAGAM DI  
                   PULAU CAREY
A)   Maklumat Am
Nama Penyelidik
:
Rabiatul Nadia Binti Baharom
Nama Responden
:
Ravechandran A/L Reagan
Tarikh Temubual
:
17 Februari 2019.
Tempat Temubual
:
Kampung Tan Sri Manickavasagam

B)  Soalan Temu Bual
1.      Bagaimanakah sejarah awal pembentukan Kampung Tan Sri Manickavasagam ini?
2.      Siapakah pengasas kampung Tan Sri Manickavasagam ini?
3.      Bagaimanakah kampung ini mendapat nama?
4.      Bilakah tahun kewujudan kampung Manickavasagam ?
5.      Apakah pekerjaan penduduk setempat di kampung ini?
6.      Kebanyakan masyarakat kampung Manickavasagam menganuti agama apa?
7.      Perubahan kampung ini dari awal penubuhan sehingga sekarang?
8.      Apakah adat resam atau perayaan yang sering disambut?
9.      Harapan anda, terhadap kampung ini di masa akan datang?



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kerja Kursus Prinsip Akaun T4